Beras merah bagus untuk kesihatan

     Diet masyarakat Malaysia banyak mengandungi beras putih sebagai satu bahan asas untuk dinikmati tidak kira pagi, petang dan malam. Pengambilan beras putih secara berlebihan mampu untuk meningkatkan berat badan. Jadi bagaimanakah caranya untuk menikmati nasi tanpa rasa bersalah? Beras merah mungkin boleh dijadikan alternatif anda. Jom kita singkap khasiatnya.



  Apabila anda menukar pengambilan beras putih kepada beras merah sebagai pengganti, mungkin rasanya sedikit pelik kepada lidah disebabkan teksturnya yang lebih kasar. Namun percayalah ia jauh lebih baik berbanding beras putih bahkan ia membuat anda berasa kenyang lebih lama. Beras merah seharusnya diambil oleh anda yang memiliki masalah dan keinginan seperti berikut:
  • Mahu menurunkan berat badan.
  • Mengelakkan diabetes.
  • Ketika menghidap diabetes.
  • Mencegah penyakit jantung.
  • Menurunkan paras kolestrol dalam badan.
  • Meningkatkan kolestrol yang baik (HDL)
BAIK UNTUK PENCERNAAN
     Beras merah ini selain baik bagi anda yang sedang melakukan program diet, beras merah juga mengandungi kandungan serat enam kali ganda lebih banyak berbanding beras putih. Jadi apakah manfaat bagi serat bagi kesihatan terutama bagi anda yang sedang berdiet? Di antaranya adalah untuk melancarkan sistem pencernaan, mengurangkan risiko kanser, mengawal gula dalam darah, mengurangkan risiko buasir dan mencegah timbunan kolestrol jahat.
MENINGKATKAN SISTEM KEKEBALAN TUBUH
     Beras merah yang mengandungi banyak nutrisi seperti zat besi, magan dan juga zink akan membantu membetulkan proses pembentukan sel darah merah. Oleh kerana itu anda akan terhindar daripada risiko anemia, Kebaikan kandungan zink yang ada pada beras merah akan membantu meningkatkan sistem kekebalan tubuh anda selama menjalankan program diet.
RESEPI SALAD BERAS MERAH

BAHAN-BAHANNYA
  • 1 cawan beras merah
  • 1 cawan timun (dipotong dadu)
  • 1/4 cawan daun parsli (dicencang)
  • 1/4 cawan daun pudina (dicencang)
  • 3 biji bawang merah (dipotong halus)
  • 3 ulas bawang putih (dicencang)
  • 4 sudu makan minyak zaitun
  • 2 sudu teh gula
  • 2 sudu teh kicap
  • 1 sudu teh minyak bijan
  • 1/4 sudu teh garam
  • 1 sudu teh cuka beras
  • 1 sudu teh jus lemon
  • sedikit serbuk lada hitam
CARA MEMBUAT :
  1. Masak beras merah dan biarkan sejuk.
  2. Dalam kuali panaskan dua sudu minyak zaitun dan tumis bawang merah bersama bawang putih sehingga naik bau.
  3. Kemudian masukkan dua sudu lagi minyak zaitun bersama dengan gula, minyak bijan, garam, cuka beras, serbuk lada hitam dan jus lemon. Masak sehingga menjadi sedikit pekat dan ketepikan.
  4. Selepas beras merah sudah sejuk sepenuhnya, campurkan bahan-bahan tumisan tadi bersama daun parsli, timun dan daun pudina yang dicencang halus. Gaulkan sehingga sebati dan hidangkan.

Sumber : Majalah NONA

Comments